Sunday, March 6, 2016

Pelaburan Emas


Secara konsepnya, pelaburan emas adalah “Menyimpan Emas”, dengan melabur didalam emas, ia bermakna emas tersebut disimpan dan tidak diniagakan dimana-mana pasaran. Harga emas didunia yang naik dan turun secara moderate akan mengubah nilai emas menjadi semakin tinggi.

Kepentingan Emas

Ada banyak faktor naik turun emas di pasaran semasa dunia, lima antaranya;

1. Harga pasaran dollar (USD) dan pasaran makroekonomik dunia.
Kenaikan tekanan inflasi semasa, defisit dagangan menggunakan dollar dan pengelakan penggunaan matawang dollar dalam dagangan global akan menaikkan nilai emas.

2. China, India dan pasaran Asia.
Dua negara yang mempunyai populasi terbesar didunia seperti China dan India turut mengubah landskap harga emas pasaran dunia. Memiliki emas di China baru sahaja dibenarkan pada tahun 2004, kemampuan rakyat China untuk memiliki emas semakin naik, permintaan emas menjadi lebih tinggi dan India, pembeli emas terbesar didunia pada masa kini, turut mengalami kenaikan permintaan untuk pelaburan emas disebabkan dagangan emas yang semakin ketat di Pasaran Dunia. Perkara yang berlaku di negara-negara ini contohnya Sukan Olimpik, Asia dan sebagainya turut mengubah harga pasaran emas semasa.

3. Permintaan Bank Pusat Negara.
Kelembapan jualan produk ekonomi dan jumlah hutang yang ditanggung menyebabkan banyak Bank Pusat setiap negara cuba membeli emas sebagai simpanan.

4. Kekurangan pengeluaran emas di lombong
Hampir semua pengeluar emas utama didunia tidak mencapai target mereka dan kos pengeluaran serta pemprosesan yang semakin tinggi menyebabkan harga emas dunia semakin naik. Afrika Selatan sebagai negara pengeluar emas terbesar didunia turut mengalami penurunan dalam pengeluaran emas mereka.

5. Permintaan pelaburan.
Ramai mula menyedari keperluan untuk melabur dan menyimpan emas didalam ekonomi sekarang menyebabkan permintaan untuk emas semakin tinggi dari sehari ke sehari.

Semua diatas antara 5 faktor utama yang mempengaruhi harga emas di pasaran dunia, untuk anda di Malaysia, apakah bentuk pelaburan yang terbaik? Untuk anda yang baru ingin bermula didalam pelaburan emas, anda mungkin tertanya-tanya waktu yang sesuai untuk mula membeli? Mungkin info ini dapat membantu.

Bilakah waktu yang sesuai untuk membeli emas?

Pertama, lihat ekonomi dunia, adakah harga dollar semakin naik atau tidak? Jika dollar jatuh harga emas akan naik, itu yang pertama.

Yang kedua, apakah ada sebarang acara terbesar di China, India atau negara lain yang sinonim dengan emas? Jika ada ia mungkin waktu terbaik untuk anda beli sebelum event tersebut, Harga emas naik ketika Piala Dunia di Afrika Selatan, Olimpik di Beijing dan Sukan Komanwel di India baru-baru ini, adalah bukti event di negara-negara tersebut mempengaruhi harga emas dunia.

Ketiga, apakah landskap ekonomi sekarang? Harga emas akan naik ketika ekonomi dalam keadaan jatuh, seperti kejatuhan ekonomi dunia, kejatuhan matawang dollar dan sebagainya, seeloknya anda beli ketika ekonomi bergerak perlahan.

Keempat, berapakah pengeluaran emas semasa? (banyakkan membaca dan research), jika pengeluaran emas di lombong semakin rendah, harga emas akan naik. dan yang terakhir, sudah lamakah anda mendengar pelaburan emas? Apa yang kami tahu, pelaburan emas masih agak baru di negara kita, masih ramai yang tidak menyedari pentingnya melabur didalam emas. Jika ini kali pertama sampai ke telinga anda, maka jangan tunggu lagi untuk bermula. Lebih awal anda bertindak, lebih banyak keuntungan anda.

Kadang-kadang ada yang bertanya, apakah jenis emas terbaik untuk mereka beli? Emas mempunyai banyak jenis, ada 24 karat, 22k, 18k, 14k dan bermacam lagi, jawapannya tentulah emas 24 karat, atau orang tua di kampung lebih senang memanggilnya emas sepuluh atau emas 999. Emas 916 pula, bukannya tidak elok, tetapi peratus susut nilainya lebih tinggi berbanding emas 999. Emas putih pula sama sekali harus dielakkan untuk dibeli. (bagi mereka yang berniat untuk menyimpan emas) kerana susut nilainya yang sangat tinggi malah ada banyak tempat emas putih tidak akan dinilai.

Okey seterusnya, apakah bentuk emas yang sesuai untuk pelaburan? Ada banyak pendapat mengatakan jongkong emas, dinar emas dan sebarang bentuk emas bukan perhiasan lebih sesuai untuk pelaburan. Itu pendapat mereka. Emas perhiasan lebih sesuai untuk disimpan ketika ini. Ini kerana;

Pertama: Apabila pelabur membeli emas jongkong, dinar dan sebagainya, pelabur akan cenderung untuk menjual apabila harga naik. Bila sahaja harga naik, pelabur mula ingin menjual jongkong-jongkong emas tersebut. Ini adalah kerana stigma yang bermain di fikiran kita sebagai pelabur. Kita menyimpan emas untuk mendapatkan keuntungan segera, bukannya sebagai medium simpanan kekayaan.

Kedua: Emas jongkong pula hampir tiada fungsi, hanya terbaring pegun dibilik pelabur, tidak boleh dipakai malah sukar dibawa kemana-mana, emas itu sendiri hilang kilauannya. Pelaburan emas, apakah yang terbaik? . Berbeza dengan emas perhiasan, yang mana boleh dipakai, dibawa kemana-mana dan kilauannya cantik di leher isteri saudara-saudara semua. Jadi sebagai manusia, kita mungkin lebih cenderung untuk menyimpan sesuatu yang kita gunakan, berbanding suatu yang tidak digunakan.

Ketiga: Zakat untuk emas bukan perhiasan akan dikenakan bagi simpanan emas melebihi 90 gram, berbeza dengan emas perhiasan (hanya dikenakan zakat sekiranya memiliki lebih 900 gram emas). Bermaksud, apabila saudara membeli pamp Suisse 100g, automatik diwajibkan zakat keatas saudara. Mungkin banyak syarikat yang menawarkan pelaburan emas dengan jongkong, tetapi, cuba kita siasat susur galur syarikat tersebut, pemiliknya mungkin tidak tahu hal berkenaan zakat dan berkata jongkong emas adalah pelaburan terbaik. Adakah kita akan angguk-angguk sahaja?

Keempat: Krisis yang melibatkan skim pelaburan Etika Emas beberapa ketika dulu, mengengkang jongkong/dinar daripada dipajak di Ar-Rahnu, ini sedikit sebanyak menghadkan pelabur dari mendapatkan wang apabila perlu kecuali menjual jongkong walaupun pada harga yang rendah. Emas perhiasan pula dengan mudah dapat dipajak dimana-mana.

Kelima: Beberapa syarikat pelaburan emas, membeli balik emas jongkong saudara secara tidak tunai (cek) juga menghadkan saudara untuk mendapatkan tunai dengan segera. Emas sepatutnya boleh ditunaikan bila-bila masa sahaja. Ada juga agen syarikat tersebut enggan membeli pada harga semasa kerana jumlah keuntungannya yang sedikit.

Lima diatas mungkin perkara yang patut pelabur baru pertimbangkan sebelum mula melabur.

Dipetik dari tajuk Kepentingan Emas (http://www.hargaemas.com.my/terkini/kepentingan-emas/)


No comments:

Post a Comment